Zakir Naik Mungkin Tak Sesuai Dengan Masyarakat Malaysia – Mujahid

1
6827

KOTA BHARU: Penceramah luar termasuk Dr Zakir Naik, diingatkan supaya menghormati kepelbagaian agama dan kaum yang terdapat di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata ia berikutan keharmonian dan perpaduan negara sudah dibina sejak zaman sebelum dan selepas merdeka dengan pelbagai ujian dihadapi untuk sampai ke tahap sekarang.

Justeru, katanya, tidak kira sesiapa termasuk Dr Zakir, perlu memastikan dan memahami Malaysia mempunyai ciri tersendiri dan mereka yang datang dari luar perlu menghormati keadaan yang terdapat di negara ini.

“Saya masih ingat pada 2018 apabila keluar isu Dr Zakir, saya ada membuat kenyataan dan antaranya, Malaysia adalah negara pelbagai agama dan kaum menyebabkan suasana berbeza.

“Saya sudah menyatakan mungkin pendekatan beliau (Dr Zakir) tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia.

“Hari ini apabila berlaku isu yang dibicarakan, saya hanya bersikap konsisten dengan pandangan saya bahawa kemunculannya di khalayak ramai sudah menimbulkan keresahan.

“Ini bukan soal beliau ada ilmu ke tidak, itu cerita lain, tetapi kita bercakap realiti politik dan masyarakat serta tradisi Malaysia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Ketereh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) MK Kadok, di sini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata beliau sendiri sudah meneliti keseluruhan kandungan ucapan Dr Zakir dan mendapatiia boleh mengundang pelbagai persepsi.

Katanya, memang Dr Zakir memaklumkan tidak berniat dan ucapannya itu disalah tafsir, namun dengan realiti yang berlaku sekarang, adalah lebih baik penceramah itu berhati-hati dan setakat ini, beliau difahamkan semua program ceramah Dr Zakir dihentikan supaya tidak memburukkan keadaan.

“Kita tidak boleh terima mana-mana pihak mengeluarkan kata-kata atau tindakan boleh mengganggu gugat keharmonian yang terbina. Saya tidak tuju kepada mana-mana individu sebaliknya kepada sesiapa saja.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun menyatakan Dr Zakir boleh tinggal di Malaysia dengan syarat menghormati undang-undang negara,” katanya.

Pada masa sama, Mujahid turut mengingatkan semua pihak termasuk pembangkang supaya tidak mengheret isu Dr Zakir kepada doktrin agama sempit.

Katanya, isu yang dihadapi ini bukan membabitkan individu sebaliknya kepentingan perpaduan selain ada kaitan dengan negara luar.

“Apabila ada pihak mengeluarkan kenyataan jika tidak sokong Dr Zakir akan jadi munafik, keadaan akan menjadi lebih runcing dan berpecah belah. Jadi, saya harap jangan gunakan atau heret isu ini ke arah perkauman atau agama sempit,” katanya.

Kelmarin, Dr Zakir memberi keterangan selama lima jam di Bukit Aman, di sini, dipercayai berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di sini, baru-baru ini. BH

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here