Wawasan 2020 : Majlis Daerah Kerian Yakin Capai Status Perbandaran

0
385

Majlis Daerah Kerian (MDK) Parit Buntar yakin mampu mencapai status perbandaran menjelang tahun 2020.

Abdul Khair Ahamad, Yang Dipertuanya berkata, Kerajaan Perak sebelum ini telah menetapkan Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah dan Kerian perlu mencapai taraf perbandaran pada tahun 2020.

Tambah beliau lagi, MDK perlu memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan bagi mendapat status perbandaran, salah satunya pendapatan PBT mesti melebihi RM20juta setahun dan kepadatan penduduk melebihi 200,000 orang. Selain itu, daerah kerian perlu memiliki kemudahan prasarana awam yang lengkap serta permohonan dipersetujui kerajaan negeri.

“Kini, Kerian hampir mencapai target yang ditetapkan. Jumlah penduduk di Kerian hingga kini telah mencecah 192,000 orang dan dengan perlaksanaan beberapa projek mega, MDK yakin berada di landasan yang tepat.”

“Sehubungan itu, Daerah Kerian bakal melaksanakan projek pembinaan pusat pentadbiran daerah baharu di Dennistown, yang dijangka melibatkan tanah yang seluas 8 hektar. Disamping itu, beberapa projek perumahan akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKNP) yang melibatkan ratusan unit rumah.”

“Manakala projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Bagan Serai sudah mencapai lebih 1,000 unit rumah,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MDK 2016 di Dewan Merdeka, semalam.”

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan dihadiri Datuk Sham Mat Sahat, Adun Alor Pongsu serta Pegawai Daerah Keran, Mohd Sabli Bakri.

Abdul Khair berkata, kawasan seluas 242 hektar sedang giat dibangunkan bagi tujuan perlaksanaan projek pembangunan Lembah Beriah, Bagan Serai oleh pihak swasta. Menurutnya lagi, projek itu bukan sahaja memberikan impak positif dari aspek peningkatan kepadatan penduduk, malah membantu memacu ekonomi setempat ke arah yang lebih baik.

“Di Tanjung Piandang, kita merancang pembinaan pasar awam baharu dan projek perumahan sekitar kawasan pusat pentadbiran daerah baharu di Dennistown yang bakal dibangunkan PKENP. Jadi, MDK yakin syarat untuk menyasarkan 200,000 penduduk akan tercapai.” katanya.

Dari aspek pendapatan PBT, beliau mendedahkan bahawa pendapatan tahunan MDK pada masa ini mencecah RM18 juta setahun.

Dengan kata lain, sasaran pendapatan lebih RM20juta mampu direalisasikan dengan kewujudan kawasan perindustrian baharu di Lembah Beriah serta pembangunan terancang di Dennistown dan PR1MA Matang Gerdu, Bagan Serai.

“Dari segi kutipan cukai hasil, daerah Kerian bakal memperoleh peningkatan pendapatan. Lebih-lebih lagi sejak Oktober lalu, kawasan Kuala Gula, Simpang Empat, Semanggol dan seluruh daerah Kerian termasuk perkampungan sudah diwartakan sebagai kawasan seiaan MDK.”

Lantaran itu, bagi memenuhi kriteria yang seterusnya juga dilihat hampir dipenuhi oleh MDK iaitu keperluan penyediaan kemudahan awam lengkap dan kondusif. Misalnya, di Bagan Serai terdapat kompleks mini stadium beserta dewan serba guna dan perancangan untuk membina mini kompleks sukan di Dennistown dan padang bola sepak Tanjung Piandang dalam masa terdekat.

“Pada masa yang sama, kemudahan stesen bas sudah dinaik taraf, ditambah stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTMB), malah berdekatan dengan lapangan terbang di Pulau Pinang. Keseluruhannya, semua kemudahan awam yang diperlukan sudah ada dan sedang dalam perancangan untuk dibangunkan dalam masa terdekat kecuali kolam renang,” katanya.

Abdul Khair menambah, bagi pembinaan padang sepak bola sepak dan pejabat penghulu baharu di Tanjung Piandang, kerajaan negeri sudah mengambil alih tanah seluas lebih 4 hektar dan dijangka bermula Ogos depan. Pembinaan Pasar Awam Tanjung Piandang bernilai RM2 juta juga dijangka bermula pada Jun ini setelah isu aksesibiliti ke pasar menggunakan Jalan Piandang Indah 10 bersama penduduk taman itu berjaya diselesaikan.

Akhir kata, bukan lagi satu angan-angan bagi mencapai sasaran menjelang tahun 2020 dengan kerjasama MDK dan kerajaan negeri.

Sayang Pelamuk Si Air Mawar,

Sayang Mandi di dalam Cangkir,

Sudah Mahu Kata Benar,

Jangan Janji diberi Mungkir.

Sayangi Malaysia.

Sampai Jumpa Lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here