Warga OKU Parit Buntar Terima Rumah Baharu, Tak Sabar Sambut Raya

0
660

WALAUPUN dilahirkan bisu sejak lahir, namun linangan air mata ditunjukkan seorang daripada empat penerima rumah sumbangan kerajaan negeri jelas menunjukkan kegembiraan di hatinya.

Mohd Jani Ismail, 62, yang bisu sejak kecil gembira selepas menerima surat tawaran menduduki rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah, Fasa 2, Parit Buntar, semalam.

Surat tawaran rumah berkenaan diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari, kepada empat keluarga di RPT berkenaan.

Menurut anak Mohd Jani, Mohd Amirul Faiz, 25, dia dan keluarga sudah tidak sabar menduduki rumah baharu itu disebabkan sudah sekian lama menumpang rumah di tanah milik bapa saudara.

“Rumah yang kami duduki dulu jauh beza dan setiap kali hujan mesti bocor dan banjir, penerimaan surat tawaran di hujung Ramadan ini menggembirakan kami sekeluarga terutama ayah.

“Sudah banyak kali permohonan untuk mendapatkan rumah baharu dibuat, namun semuanya dibalas dengan jawapan dukacita dan hingga hari ini saya masih menyimpan surat-surat berkenaan,” katanya.

Mohd Amirul Faiz berkata, dia dan keluarga juga sudah tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri di rumah baharu itu dan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan rakyat.

Sementara itu, Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata, tambahan empat rumah itu dibuat berikutan terdapat lebihan tanah dan ruang kosong di kawasan RPT kampung berkenaan.

Menurutnya, selain empat rumah tambahan selepas 60 unit sebelum ini, pihaknya juga merangka untuk mewujudkan lot-lot kedai bagi membantu penduduk menambah pendapatan mereka.

Katanya, pembinaan lot-lot kedai itu akan membolehkan penduduk memasarkan produk yang dihasilkan termasuk perusahaan makanan dan permotoran. HM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here