Warga Emas Maut Digigit Beruk Sendiri

0
1523

WARGA emas maut akibat digigit beruk peliharaannya dalam kejadian di Kampung Lebang Besar, Tepoh di Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Ngah Muhammad, 72, meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai akibat kehilangan darah selepas pergelangan tangan kanannya digigit haiwan berkenaan.

Beruk berusia lima tahun itu kemudian menggigit leher anak mangsa, Mohd Zakaria Ngah, 29, yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas insiden berkenaan.

Mohd Zakaria yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu berkata, kejadian berlaku ketika ayahnya bersendirian dengan beruk itu di belakang rumahnya.

“Ayah bawa beruk itu untuk suruh panjat pokok kelapa di belakang rumah dan saya ketika itu ada di rumah.

“Selepas beberapa ketika, saya pelik kerana keadaan senyap saja, tiada bunyi suara ayah, tiada bunyi kelapa jatuh ke tanah dan tiada suara beruk.

“Apabila tiba di tempat kejadian alangkah terkejutnya apabila saya nampak ayah terbujur kaku tidak jauh dari beruk itu dengan tangan kanannya berdarah,” kata anak keenam daripada sembilan beradik itu.

ZAKARIA cedera di leher digigit beruk ketika hendak menyelamat bapanya, Ngah yang maut digigit beruk jantan peliharaan mereka. FOTO Imran Makhzan

Menurutnya, dia kemudian kembali ke rumah dan menelefon semua ahli keluarga dan selepas itu sekali lagi pergi ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan ayahnya.

“Ketika saya mendapatkan ayah, beruk itu tiba-tiba menerkam dari belakang dan menggigit leher saya. Dalam kesakitan, saya menjerit minta tolong dan tidak lama kemudian beberapa jiran datang membantu,” katanya.

Jiran mangsa, Mohd Azman Mohd Yusof, 36, berkata, dia terdengar jeritan Mohd Zakaria bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika tiba saya lihat pak cik Ngah terbaring dan bila periksa nadinya, tiada denyutan. Saya kemudian membantu mengangkat arwah dan menolong anaknya ke rumah mereka.

“Selepas itu saya menelefon PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) yang tiba tidak lama selepas itu dan menangkap beruk berkenaan,” katanya.

Katanya, dia tidak sangka kejadian itu menimpa keluarga berkenaan kerana beruk itu dipelihara sejak kecil.

“Malah, beruk itu dihantar ke ‘sekolah beruk’ di Kampung Banggol Nyior (Kuala Terengganu) untuk diajar memanjat kelapa,” katanya. HM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here