Tiada Cuti Jika Perak Juara Piala FA

0
816

IPOH 26 Julai – Kerajaan negeri tidak bercadang untuk memberi cuti khas peristiwa pada Isnin ini jika pasukan bola sepak Perak berjaya merangkul Piala FA pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada keperluan untuk mengumumkan cuti kerana orang ramai masih boleh menggunakan cuti hujung minggu pada Ahad untuk berehat selepas selesai meraikan kejayaan pasukan Perak pada perlawanan akhir itu.

“Tidak perlu cuti pada hari Isnin ini kerana Ahad pun, kita masih sempat untuk berehat selepas menyambut kejayaan pasukan Perak di final. 

“Lagipun, Selasa ini adalah cuti umum seluruh negara sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan kita boleh berehat semula pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan barisan pemain dan pengurusan pasukan Perak yang singgah melawatnya di Hospital Pakar KPJ Ipoh di sini hari ini sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ahmad Faizal dirawat di hospital berkenaan sejak Selasa lalu kerana menjalani pembedahan setelah dijangkiti kuman pada tisu (cellulitis) pada kaki kirinya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memberitahu, perlawanan akhir Perak menentang Kedah itu amat istimewa apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menonton perlawanan tersebut bersama kerabat lain.- UTUSAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here