Tangisan Dan Sujud Syukur Bapa Zulfarhan Setelah Keputusan Mahkamah

0
757

SUASANA hiba menyelubungi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila bapa Allahyarham Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros bersujud syukur dan tidak dapat menahan air mata selepas mahkamah memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), untuk membela diri dalam kes kematian anaknya, dua tahun lalu.

Zulkarnain, 55, dan isterinya, Hawa Osman, 56, menangis sebaik keluar dari galeri awam mahkamah apabila Hakim Datuk Azman Abdullah memberikan keputusannya.

Zulkarnain berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana keputusan memihak kepada saya,” kata Zulkarnain.

Hawa pula berterima kasih atas kerjasama dan doa rakyat Malaysia di atas apa yang berlaku terhadap anaknya.

“Saya bersyukur doa kami dimakbulkan. Semoga pesalah dapat pembalasan.

“Pemergiannya masih terasa. Setiap malam saya terdengar suaranya. Apabila hari raya terasa dia tak ada. Saya tak akan lupakan arwah,” katanya.

Pada prosiding itu, Azman memerintahkan 18 penuntut UPNM itu untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Azman memerintahkan lima tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri membela diri atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali juga diperintah membela diri atas pertuduhan bersubahat membunuh mangsa.

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka, yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Keenam-enam tertuduh bersama 12 penuntut yang lain turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

MUHAMMAD AKMAL AKIF yang dilepas tanpa perlu membela diri. FOTO Aizuddin Saad

Dua belas penuntut lain yang kesemuanya berumur 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagi kejadian mencederakan mangsa pada 21 Mei 2017, tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu namun masih perlu membela diri bagi pertuduhan mencederakan dalam kejadian 22 Mei 2017.

Hanya seorang tertuduh bebas mutlak iaitu Muhammad Akmal Akif Alias, 23, yang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman pada 22 Mei 2017.

Mereka didakwa dengan salah satu pertuduhan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Perbicaraan kes yang bermula pada 29 Januari 2018 itu memanggil 29 saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan.

Galeri awam mahkamah dipenuhi dengan keluarga mangsa dan tertuduh yang hadir seawal jam 7.30 pagi untuk mengikuti keputusan kes itu.

Sementara itu, Muhammad Akmal Akif, yang lepas bebas daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman menangis teresak-esak ketika ditanya media mengenai perasaannya.

“Alhamdulillah, saya nak teruskan hasrat untuk meneruskan pengajian yang tertangguh selepas digantung kerana kes ini,” katanya sambil mengelap air matanya.

Apabila ditanya media adakah dia sudah berjumpa dengan keluarga Zulfarhan Osman, Muhammad Akmal Akif menjawab: “Belum”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here