Tak Salah Kalau Nak Perkenal GST Semula

0
285

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, berkata kalau wujud keperluan memperkenalkan semula cukai itu, tidak salah untuk melaksanakannya dan mengenepikan alasan politik.

Beliau berkata, berdasarkan data, tidak dapat dinafikan bahawa sistem GST adalah paling popular diguna pakai di dunia kerana ia lebih mudah dan membantu kerajaan mempunyai pendapatan yang cukup untuk berbelanja.

Jadi, katanya, jika kerajaan ingin memperkenalkan semula GST, itu adalah hak kerajaan.

“Kalau dasarnya kerana manifesto, saya rasa tidak perlu ikut kerana ada banyak (janji) manifesto yang belum ditunaikan.

“Kerajaan boleh mengambil masa untuk memilih mana satu kena buat dan mana satu keutamaan, kerana itu adalah hak kerajaan memikirkan mana satu terbaik untuk rakyat.

“Kalau ia penyelesaian terbaik, buatlah. Saya yakin rakyat yang cakna dan matang, mereka akan melihat ia sesuatu yang positif.

Ketepikan ‘political damage’, paling penting impak kepada ekonomi,” katanya pada Bicara Belanjawan 2020: Apa tuntutan ekonomi, Apa kehendak Rakyat yang dianjurkan BH di sini, hari ini.

KETUA Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman. – NSTP/Zunnur Al Shafiq

Beliau berkata demikian mengulas soalan diutarakan pelayar Facebook BH yang menyiarkan program itu secara langsung, AbangMat Kie bahawa adakah perlu kerajaan memperkenalkan semula GST kerana Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mengurangkan pendapatan negara menyebabkan kerajaan sering mengeluh kekurangan duit untuk membantu rakyat.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula mengakui sumbangan GST kepada pendapatan negara adalah ketara.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan, GST menyumbang kira-kira RM44 bilion kepada pendapatan negara pada 2017, sementara SST pula menyumbang kira-kira RM22 bilion, yang mana kerajaan berdepan kekurangan pendapatan kira-kira RM22 bilion berikutan peralihan kepada SST.

Namun, katanya, adalah perlu diingatkan, kerajaan semasa menghapuskan GST adalah bagi memenuhi janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Sebenarnya GST ini digunakan kebanyakan negara di dunia kerana ia cukai yang cekap. Jika ada bertanya kenapa tidak kembali semula kepada GST dengan peratusan lebih rendah, mungkin dapat mengembalikan semula pendapatan? Itu terpulang kepada kerajaan untuk tidak memenuhi janji manifesto mereka.

“Namun bagi saya, kalau perbelanjaan dapat dikawal, mungkin kita tidak perlu kenakan cukai,” katanya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, pula menegaskan sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan semula GST, mereka perlu menutup kebocoran seperti rasuah bagi memberikan keyakinan kepada rakyat.

Beliau yakin jika kerajaan berjaya menutup semua kebocoran, mungkin kerajaan tidak perlukan GST.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here