‘Sticker’ Kebal Elak Ditahan JPJ

0
1139

Sticker atau pelekat. Itu pengenalan mudah digunakan pemilik syarikat lori kepada anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melepaskan kenderaan berat itu tanpa melakukan sebarang pemeriksaan.

Sumber mendedahkan pemilik syarikat tertentu akan mengarahkan semua pemandu lori miliknya supaya memasang pelekat tertentu pada kepala lori.

“Ini penting bagi mengelakkan JPJ menahan lori berkenaan ketika berada di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, setiap kali lori terbabit melalui lebuh raya ataupun jalan raya, anggota JPJ tidak akan menahan kenderaan berat itu.

“Setiap lori dikenakan bayaran antara RM100 hingga RM200 sehari. Namun, ada juga anggota dan pegawai JPJ yang mengenakan bayaran tetap antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan bergantung jumlah lori dimiliki syarikat itu.

“Dengan adanya pelekat itu, pemilik lori tidak lagi bimbang kenderaannya ditahan ataupun diperiksa biarpun muatan dibawa melebihi had ditetapkan,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, sumber itu berkata, setiap pemilik syarikat akan memasang pelekat berbeza.

“Syarikat A contohnya akan gunakan pelekat Bunga manakala syarikat B pula guna pelekat berhuruf Z. Manakala lori yang tidak mempunyai pelekat akan ditahan dan diperiksa anggota JPJ,” katanya.

Sumber sama mendedahkan, modus operandi itu digunakan semua syarikat pemilik lori 
di seluruh negara.

“Bukan di Pulau Pinang saja, semua negeri menggunakan kaedah sama,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan sebahagian besar anggota penguat kuasa JPJ di Pulau Pinang dikesan mengutip wang rasuah daripada pemilik syarikat lori untuk diberi kepada pegawai atasan mereka bagi tujuan berhibur.

Malah, pada masa sama, anggota terbabit juga menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi selain menampung aktiviti hiburan pegawai atasan yang datang ke negeri ini atas sesuatu tugasan.

Kegiatan mereka terbongkar apabila 24 kakitangan JPJ negeri dan sembilan orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas bermula jam 10 pagi kelmarin.

Menurut sumber, kegiatan anggota JPJ itu dianggap terlalu teruk dan merebak kerana dipercayai membabitkan begitu ramai anggota dan pegawai.

Anggota ditahan itu dari gred 19 hingga 32 berusia antara 31 dan 54 tahun. Sembilan orang awam termasuk tiga wanita turut ditahan kerana berperanan sebagai proksi, tonto dan pemilik syarikat lori.

Semua anggota berkenaan dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 setiap bulan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori, selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Sumber itu berkata, wang diterima dipercayai untuk pegawai kanan JPJ berhibur dan SPRM juga dijangka menahan 50 lagi yang disyaki terbabit dalam kegiatan sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here