Sejarah nama Titi Serong

0
3557

Titi Serong antara nama yang unik di Parit Buntar. Teringat zaman kecil dulu, musim cuti sekolah je mesti ajak kawan-kawan memancing betul-betul pasar lama pekan Titi Serong. Terfikir juga, macam mana boleh dapat nama Titi Serong.

Sekitar tahun 1889, Haji Musa dan Haji Muhammad yang berasal dari negeri utara Malaysia merupakan orang yang pertama yang meneroka dan membuka Kampung Titi Serong. Lokasi pertama yang mereka teroka ialah Kampung Tebok Haji Musa.

Jalan laut digunakan oleh Haji Musa dan Haji Muhammad serta pengikut mereka dari utara Malaysia meneroka Kampung Tebok Haji Musa yang kini jalan laut tersebut dinamakan Kampung Sungai Kota.

Sepanjang mereka di sini, mereka telah mendirikan sebuah masjid yang pada ketika itu dikenali sebagai Masjid Jamek Tebok Haji Musa. Pada akhir abad ke-19 masa itu, pembinaan masjid hanya menggunakan kayu dan bertam. Masjid tersebut telah diubahsuai buat kali ketiga pada tahun 1918 seperti yang terpahat di mimbar masjid tersebut.

Zaman silih berganti, pertambahan penduduk semakin meningkat dan kawasan menjadi semakin luas. Di kampung ini bukan hanya bangsa Melayu sahaja, malah bangsa Cina dan India juga bermastautin di sini. Hasil dari pertambahan penduduk di sini, kawasan menjadi semakin luas maka kedai-kedai dan kemudahan lain semakin bertambah.

Kawasan pembangunan kedai-kedai tersebut menjadi tumpuan orang ramai dan dikenali dengan nama simpang empat Titi Serong. Nama Titi Serong pula di ambil bersempena terdapatnya sebuah titi yang berkedudukan menyerong pada sebatang parit.

Nama ini kekal sehingga ke hari ini dan titi itu masih kekal dalam  keadaan menyerong dan berada di tengah-tengah pekan Titi Serong. Maka, dulunya peneroka menamakan kampung ini Kampung Tebok Haji Musa tetapi sekarang telah ditukar dan diisytiharkan kampung tersebut dinamakan Kampung Titi Serong, Parit Buntar, Perak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here