Saya Hanya Pesakit COVID19, Bukan Penjenayah

0
91

Kuala Lumpur: “Sepanjang saya berada di wad, perkara paling menyedihkan apabila anak dan isteri di rumah dipulaukan masyarakat seolah-olah penjenayah.

“Sedangkan hanya saya seorang saja positif Covid-19 dan mereka negatif serta tidak dimasukkan di hospital,” luah bekas pesakit Covid-19, Shakirin Al-Ikram Abd Hamid.

Shakirin, 26, antara pesakit daripada kes Kluster Utama yang dijangkiti Covid-19 hasil ujian calitan dilakukan pada 11 Oktober lalu.

Bapa kepada dua anak berumur 10 bulan dan dua tahun itu menerima keputusan itu pada 13 Oktober sebelum dibawa ambulans pada malam hari sama untuk dimasukkan ke wad Hospital Kusta, Sungai Buloh.

Dia yang menetap di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya kemudiannya dikuarantin di wad selama lima hari sebelum dibenarkan pulang, Sabtu lalu.

Berkongsi pengalamannya, Shakirin yang bekerja sebagai pembantu jualan premis pakaian di pusat beli-belah di Bandar Utama berkata, dia tidak mengalami gejala teruk atau demam, cuma simptom ringan seperti sakit sendi dan rasa hendak pitam beberapa hari sebelum disahkan positif Covid-19.

Katanya, dia sangkakan apa yang dialaminya sekadar simptom demam biasa, tetapi rupanya tanda dijangkiti Covid-19.

“Saya dapat tahu keputusan apabila dihubungi doktor dua hari selepas menjalani ujian calitan dan rasa macam tidak percaya dan perkara pertama dibuat adalah menghantar anak ke rumah pengasuh kerana isteri bekerja ketika itu.

“Kira-kira 9 malam, ambulans datang ke rumah dan membawa saya ke hospital manakala isteri, Shasha Ridzuan, 26, dan dua anak kami yang turut menjalani ujian calitan didapati negatif Covid-19.

“Namun, masalah berlaku apabila anak dan isteri saya menerima layanan dingin daripada segelintir penduduk setempat hanya kerana saya dijangkiti Covid-19 manakala alamat rumah kami turut disebarkan individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, Shakirin berkata, dia dituduh membuang gelang tangan kuarantin sedangkan perkara itu tidak benar.

Menurutnya, selain mereka empat beranak, keluarganya termasuk emak serta ayahnya yang tinggal di blok sebelah dan keluarga pengasuh turut terkena tempiasnya.

“Paling menyedihkan apabila isteri mahu membeli bekalan susu dan lampin pakai buang yang habis, tetapi tidak dibenarkan kerana orang sekeliling takut dia menjadi punca.

“Saya cuba menggunakan khidmat penghantar, tetapi mereka menolak kerana tidak berani ambil risiko.

“Apa yang berlaku menambah tekanan ketika saya di wad kerana setiap masa memikirkan anak dan isteri di rumah, memandangkan saya ketua keluarga tetapi tidak dapat membantu ketika mereka ditinggalkan.

“Lebih membimbangkan apabila paras darah tinggi emak naik kerana tertekan selepas mendengar orang sekeliling bercakap mengenai kami sekeluarga,” katanya.

Shakirin berkata, selepas memuat naik hantaran mengenai luahannya di Facebook (FB), baru ada yang tampil menghulurkan bantuan.

Katanya, hantaran dimuat naik itu bukan untuk meraih simpati sesiapa, tetapi cara untuk menjelaskan perkara sebenar.

“Alhamdulillah, ramai memberi kata semangat dan tidak kurang tampil menghulurkan sumbangan.

“Salah seorangnya adalah pengurus restoran ,Shahrul Nizam Kamal yang menghantar makanan untuk keluarga saya sepanjang saya berada di wad,” katanya.

Di sebalik ujian dilalui, Shakirin bersyukur kerana sudah pulih daripada Covid-19 dan tidak ditahan di wad lebih lama.

Katanya, dia gembira apabila kembali ke pangkuan keluarga selepas beberapa hari terpisah dan buat masa ini masih menjalani kuarantin di rumah.

“Saya reda dengan ujian ini, tetapi mohon masyarakat tidak memandang negatif pesakit atau mereka yang pernah dijangkiti Covid-19.

“Ini kerana kami tidak minta diuji sebegini dan penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here