Saya Bukan Doktor, Saya BOMBA

0
528

“Ramai yang keliru dengan nama saya sehinggakan ada yang menyangka saya seorang doktor sedangkan saya pegawai bomba,” kata Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Dr-Rosdi Mat Yusoff.

Dr-Rosdi, 48, yang juga penyelia di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan pada mulanya kurang selesa apabila rakannya kerap memanggil panggilan namanya sebagai ‘Dr (doktor)’ namun lama-kelamaan dia sudah boleh menerima panggilan nama itu.

Katanya, berdasarkan cerita arwah bapanya, Mat Yusoff Awang, dia sepatutnya diberi nama Mohd Rosdi, namun pihak berkuasa yang mendaftarkan namanya tersilap menulis namanya ketika itu.

“Pada masa itu terkenal dengan filem Dr Rushdi lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan mungkin disebabkan terkesan dengan tajuk filem itu, dia tersilap daftar pada nama saya.

“Tetapi bagi saya, nama saya ini sangat unik dan membawa tuah kerana orang senang ingat pada saya,” katanya ketika ditemui di BBP Yan, semalam.

Dr-Rosdi berkata, lebih mengelirukan apabila dia pergi mendapatkan rawatan di hospital atau klinik, kakitangan di situ menyangka dia adalah doktor.

Katanya, ramai yang bertanya padanya lokasi klinik atau hospital tempat dia bertugas, namun dia akan berterus terang yang itu hanya namanya sahaja dan bukan doktor sebenar kerana bimbang orang akan salah sangka.

“Anggota di balai dan rakan-rakan di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah pun memanggil saya dengan panggilan ‘doktor’ kerana senang ingat.

“Kalau ada anggota baru masuk terutama Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di sini ada yang terkejut sebab dalam bomba pun ada ‘doktor’ tapi lama-lama mereka tahu juga keadaan sebenar, ” katanya yang berasal dari Bedong, Sungai Petani.

Dr-Rosdi berkata, jika menghadiri ceramah berkaitan bomba, orang luar terkejut apabila mengetahui namanya ‘Dr’ malah ada yang menghormatinya dengan memanggil gelaran itu.

Namun katanya, dia tidak mengekalkan nama ‘Dr’ itu untuk empat anaknya yang berusia 8 hingga 21 tahun kerana baginya biarlah nama itu kekal pada dirinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here