Rosmah Maafkan….

0
221

“SAYA maafkan… tapi apa yang mustahak adalah meminta maaf pada rakyat kerana mereka percayakan fitnah yang disebarkan kepada saya.”

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Dewan Rakyat mengenai isu cincin merah jambu berharga kira-kira RM24 juta yang tidak dibeli olehnya seperti didakwa sesetengah pihak.

Menurut Rosmah, beliau sudah memberikan kemaafan kepada sesiapa yang datang meminta maaf kepadanya kerana mempercayai fitnah itu selepas mendapat tahu perkara sebenar.

Terdahulu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta berhubung projek solar di Sarawak.

Beliau berkata, isu cincin merah jambu itu digunakan oleh sesetengah parti politik untuk pilihan raya lalu.

“Tapi malangnya, orang percaya fitnah itu, namun Alhamdulillah perkara yang sebenar sudah diketahui,” katanya yang mengakui sebagai isteri kepada pemimpin negara, beliau sentiasa sabar dan reda terhadap fitnah yang dihadapinya.

Katanya, bukan itu sahaja fitnah yang dilemparkan kepadanya dan banyak lagi dakwaan yang terpaksa dihadapinya.

“Saya bersabar dengan fitnah demi kesejahteraan rakyat.

“Apa yang dialami oleh Najib, saya turut merasainya, kerana saya isteri dia.

“Namun, saya bersedia menghadapi apa saja dugaan yang diberikan Allah SWT,” katanya.

Rosmah berkata, rakyat terpaksa menderita akibat pembohongan yang disebarkan, kerana pembohongan lebih menarik untuk dipercayai.

“Namun, di sebalik apa yang berlaku, saya masih gembira dan bersyukur kepada Allah,” katanya.

Pasa 8 April lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengakui cincin merah jambu yang sebelum ini didakwa berharga kira-kira RM24 juta tidak dibeli oleh seorang isteri VVIP dan sudah dibawa keluar dari negara ini oleh ejen jualannya.

Beliau berkata, ejen jualan berlian merah jambu dan barangan kemas itu sudah mengisytiharkannya kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, syarikat itu juga membuat perisytiharan barang berkenaan dengan jabatan yang sama ketika meninggalkan negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here