Penjawat Awam Perak Di Bayar Bonus 16 Mei Ini

0
812

Seramai 13,390 penjawat awam di Perak bakal menikmati pembayaran bonus kali kedua daripada kerajaan negeri, Khamis depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan perkara itu berkata, bayaran berkenaan melibatkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM2,000 seorang seperti diumumkan dalam Bajet 2019 Negeri Perak, November lalu.

“Pemberian bonus ini telah diumumkan dalam pembentangan Belanjawan lepas yang mana ia diberikan secara berperingkat.

“Separuh daripada bayaran telah kita masukkan ke dalam akaun pada Disember lalu dan bakinya akan kita berikan pada 16 Mei ini sama ada baki dari sebulan gaji atau minimum RM2,000,” katanya kepada pemberita sempena majlis Ihya Ramadan 2019 anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak di Masjid Al Mukmin Kampung Batu 3, Jalan Pahang hari ini.

Beliau berharap, baki bayaran dibuat dapat membantu meringankan beban penjawat awam dalam membuat persiapan Aidilfitri ini.

“Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan atas usaha dan komitmen penjawat awam berikan selama ini,” katanya.

Daripada 13,390 penjawat awam di Perak, seramai 5,643 merupakan kakitangan di Jabatan Negeri; 1,705 di Pentadbiran Tanah dan Daerah; 4,683 di Pihak Berkuasa Tempatan dan 1,359 di Badan Berkanun Negeri.

Dalam ucapannya, Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan atas usaha TNB menjadi rakan strategik kerajaan negeri terutama dalam melaksanakan program kebajikan rakyat.

Katanya, seperti program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew di Taiping yang dilancarkan Februari lalu dan Coffee Table Book mengenai bunga Rafflesia, baru-baru ini dijangka dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di Perak.

“Jika usaha sebegini diteruskan, tidak hanya kerajaan negeri yang akan mendapat manfaat, tetapi rakyat di kawasan tersebut juga berpeluang meneroka bidang baharu untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan gimik penyerahan replika kunci rumah Projek Baiti Jannati kepada 12 keluarga, sementara sumbangan wang tunai kepada 50 golongan kurang berkemampuan dan 40 pelajar cemerlang anak-anak Orang Asal di kawasan Chenderiang.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari; Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid. AWANI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here