NGO Mohon Keluarkan Ganja Dari Akta Dadah Berbahaya

0
168

Sekumpulan aktivis memohon keprihatinan kerajaan mengeluarkan kanabis atau ganja daripada senarai Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membolehkan kajian saintifik dilakukan untuk membuktikan tumbuhan itu selamat digunakan dalam lapangan perubatan.

Di Malaysia, ganja disenaraikan di bawah Jadual 1 dalam akta tersebut dan ia melarang seseorang mengimport, menanam, memiliki, memindah atau menggunakan bahan berkenaan.

Presiden Malaysia Society of Awareness, Intan Mustika Putri Mokhtar berkata, kerajaan tidak boleh memberi kelulusan terhadap penggunaan ganja di Malaysia kerana tiada sebarang kajian berkaitan yang dijalankan di dalam negara.

“Kanabis boleh merawat penyakit, melindungi saraf dan menjana sel-sel otak. Namun, kaedah ini ditolak oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan barisan doktor di Malaysia kerana mereka tidak melihat kajian yang dilakukan di luar negara dengan teliti, contohnya di Israel.“Malangnya di negara ini, kita tidak boleh langsung nak kaji atau tanam. Terlalu banyak karenah birokrasi. 

“Memandangkan ganja itu berada dalam Jadual 1, ia tidak ada sebarang manfaat kepada bidang perubatan, sekali gus mustahil untuk kita kaji.

“Selagi ia masih di bawah akta yang ditetapkan, selagi itulah kita tak akan dapat membuat kajian,” katanya semasa menyampaikan ulasan pada program Global Cannabis Awareness Day di sini hari ini.

Program itu buat julung kalinya diadakan bertujuan memberi pendedahan berkenaan kepentingan ganja dalam merawat penyakit, terutamanya penyakit kronik seperti barah.

Dalam pada itu, pakar perubatan Dr Sakhti Ras Thaman berpendapat, KKM perlu mengambil langkah menyebarkan kesedaran tentang kaedah perubatan menggunakan ganja.

“Bukan satu atau dua negara, malah lebih 20 negara di seluruh dunia sudah mula menggunakan ganja sebagai perubatan.

“Bagaimanapun, apa yang kita nampak dalam negara kita ini, kurang kesedaran. Bukan hanya kepada orang ramai, tapi juga kurang kesedaran daripada pakar-pakar perubatan.

“Apa yang penting, dos ganja dalam perubatan ini mustahil menyebabkan kematian seseorang berbanding paracetamol. Jadi, kita perlu menukar persepsi, rawatan ganja itu sebenarnya baik,” jelasnya. – Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here