Mujahid Kesal MDK Saman Peniaga Cina Jual Sayur Di Pasar Awam Parit Buntar

2
23832

PARIT BUNTAR – Tindakan Majlis Daerah Kerian (MDK) menyaman beberapa peniaga sayur di Pasar Awam Parit Buntar sebanyak RM500 minggu lalu mengundang kekesalan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Tanpa berselindung, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) turut mempersoalkan sama ada tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bertujuan untuk mensabotaj pentadbiran kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) dengan cuba membangkitkan kemarahan rakyat.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap beberapa peniaga sayur atas kesalahan meletakkan barangan niaga di luar premis di Pasar Awam Parit Buntar dianggap tidak wajar, sedangkan sebelum ini tidak pernah isu itu dibangkitkan peniaga yang berniaga sejak bertahun lalu.

“Apabila menerima aduan peniaga sayur mengenai tindakan saman dikenakan ke atas mereka, saya berasa kesal dan kecewa kerana penguatkuasaan itu hanya dikenakan sekarang sedangkan mereka sudah menggunakan kawasan luar premis sejak bertahun lalu.

“Tindakan peniaga-peniaga sayur itu juga tidak melibatkan kawasan premis peniaga lain, jadi mengapa tidak diadakan rundingan terlebih dahulu sebelum saman dikeluarkan?

“Saya melihat keadaan ini seolah-olah cuba mensabotaj kerajaan baharu dan sepatutnya rundingan diadakan terlebih dahulu melibatkan MDK dan peniaga sebelum tindakan saman dibuat,” katanya kepada media sewaktu mengadakan lawatan ke Pasar Awam Parit Buntar di sini hari ini.

Mujahid berkata, apabila beberapa peniaga sayur berkenaan disaman hingga RM500, tindakan itu sebenarnya menyulitkan kehidupan mereka yang hanya memperolehi keuntungan tidak seberapa setiap bulan.

Mujahid (kiri) tekun mendengar permasalahan dikemukakan peniaga sayur sewaktu melawat Pasar Awam Parit Buntar hari ini

Menurutnya, MDK sepatutnya mencari solusi lebih tuntas dengan menyediakan ruang niaga tambahan kepada peniaga sayur terlibat dengan mereka diminta untuk membayar sewa pada kadar tambahan bersesuaian.

“Saya bukan maksud suruh peniaga pasar awam langgar undang-undang PBT, tetapi tindakan perbincangan dua hala adalah lebih baik dalam menangani isu kecil sebegini.

“Selain itu, saya juga meminta semua pihak khususnya ahli majlis supaya lebih sensitif dan membantu peniaga agar tidak dibebankan dengan kos penguatkuasaan yang tinggi,” katanya.

Mujahid berkata, pihaknya turut dikejutkan dengan dakwaan beberapa ahli majlis MDK menyatakan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sayur pasar awam Parit Buntar tidak dibawa ke dalam mesyuarat dan dilaksanakan tanpa pengetahuan mereka.

“Susulan isu ini, pihaknya akan mengadakan pertemuan Yang Dipertua (YDP) MDK, pegawai penguatkuasa MDK, ahli majlis dan peniaga selepas perayaan Aidilfitri bagi mengadakan perbincangan dan mendapatkan jalan penyelesaian ‘menang-menang’.

Sementara itu, YDP MDK, Helmi Yusoh@Jusoh sewaktu dihubungi menegaskan pihaknya mengarahkan jabatan penguatkuasa MDK untuk menghentikan sebarang tindakan penguatkuasaan di pasar awam Parit Buntar walaupun akan memberi kesan lain kepada PBT itu.

Menurutnya, MDK turut memberi jaminan tiada tindakan sabotaj dibuat dengan jabatan penguatkuasa PBT itu sekadar melaksanakan tugasan mereka.

“MDK bersedia mengadakan pertemuan dengan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar dan ahli majlis bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya – sinar

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here