Mujahid Enggan Komen Isu Komik Yang Dikaitkan DAP

0
4436

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof enggan memberikan sebarang komen berkaitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)’ yang menggelar orang Melayu sebagai radikal kerana menyokong perjuangan Uighur di China.

Mujahid sebaliknya mahu media menumpukan laporan berita kepada Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtimak Penggerak Zakat Kebangsaan 2019 yang dilancarkan beliau semalam.

Walaupun wartawan memberi jaminan bahawa laporan berkaitan zakat akan tetap dilaporkan, beliau tetap enggan mengulas isu komik kontroversi yang dikaitkan dengan DAP itu.

“Kalau saya jawab, nanti wartawan tulis berita komik sahaja, laporan zakat tiada,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kandungan komik yang dianggap melampau kerana menganggap umat Islam menyokong bangsa Uighur ditindas di China sebagai radikal.

Sabtu lalu Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berang dengan penulis Hew Kuan Yew dan menggelarnya sebagai ‘super stupid Superman’.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan beranggapan, tindakan ahli DAP itu sebagai rasis.

Menteri itu memetik daripada komik terbabit yang menyebut, “Pemuda Melayu yang radikal yang prihatin tentang pelaksanaan dasar etnik di Xinjiang menyebabkan mereka mempunyai tanggapan negatif terhadap China.

“Terutamanya dalam hal mengenai kerajaan China mengharamkan sekelompok minoriti Uighur yang terbabit dalam gerakan pemisah yang telah mengancamkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.”

Sebelum itu, Pejabat Perdana Menteri menegaskan komik propaganda yang disampaikan kepada Presiden China, Xi Jinping itu bukan hadiah rasmi dan dibawa tanpa mengikut prosedur.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pula mengharamkan komik itu di sekolah sebelum dikritik oleh pemimpin-pemimpin DAP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here