Muafakat Nasional Perak Akan Mohon Mengadap Sultan Perak, Bubar DUN

0
776

Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengisytiharkan keluar dari Pakatan Harapan pada 23 Februari lalu dan peletakan jawatan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan keruntuhan Kerajaan Persekutuan.

Perkembangan ini menyebabkan kerajaan di beberapa buah negeri yang dipimpin Pakatan Harapan turut tumbang kerana kehilangan sokongan majoriti.

Sehubungan itu, kenyataan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu pada hari ini, 25 Februari 2020 bahawa beliau masih kekal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah amat meragukan.

Oleh itu, beliau mesti tampil membuktikan bahawa dirinya masih lagi mendapat dukungan majoriti ADUN yang menyokong kedudukannya sebagai Menteri Besar dan juga keutuhan kerajaan negeri.

Kesangsian yang timbul diperkuatkan lagi dengan kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak merangkap ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari yang menyatakan bahawa kerajaan PH Perak sudah runtuh manakala Menteri Besar kini kehilangan sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri.

Menurut Perkara 16 2(a) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar mesti “mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli- Ahli Dewan Negeri.”
Untuk rekod, Pakatan Harapan Negeri Perak sebelum ini mempunyai 31 daripada 59 kerusi DUN iaitu DAP memiliki 18 kerusi, Parti Amanah Nasional (6), Parti keadilan Rakyat (4), PPBM (2) dan seorang ADUN Bebas.

Berdasarkan situasi politik terkini, tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Oleh yang demikian, Muafakat Nasional Negeri Perak mengesyorkan bahawa langkah mengembalikan semula mandat kepada rakyat adalah jalan terbaik untuk menegakkan sistem demokrasi.

Muafakat Nasional Negeri Perak juga akan memohon untuk menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk menyembah maklum mengenai suasana politik negeri terkini kepada baginda.

YB Dato’ Saarani MohamadKetua Pembangkang DUN Perak PengerusiBadan Perhubungan UMNO Perak25 Februari 2020

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here