Mereka Seolah-Olah Lupa Mandat Rakyat – Mujahid

0
26839

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyelar tindakan yang dilihatnya membelakangi mandat rakyat susulan ura-ura percaturan pembentukan kerajaan baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berpendapat perubahan mandat hanya berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) bukannya majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

“Mandat rakyat tidak mengenal siapa, mandat rakyat mahukan negara diselamatkan dari pemimpin yang ada kepentingan diri sebab itu PH (Pakatan Harapan) diberi kepercayaan.

“Mandat hanya berubah dalam PRU bukan pertemuan di Hotel Sheraton menghitung kerusi sambil makan malam!” ciap Ahli Parlimen Parit Buntar itu di Twitter malam tadi.

Menurutnya, keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH di Putrajaya pada 21 Februari lalu adalah jelas.

“Ada pihak tak puas hati ambil kesempatan seolah-olah mereka lupa mandat rakyat. Jangan kita dipalingkan dari fokus utama keputusan,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan mengheret seluruh negara pada agenda sempit.

“Sebenarnya geng ‘pintu belakang’ ini nak selamatkan diri atau nak selamatkan negara? Mengapa heret satu negara pada agenda sempit mereka?

“Saya yakin Tun Mahathir dan pimpinan PH akan hormat dan pertahan keputusan. Biar si luncai terjun dengan labunya,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Mujahid meminta semua bertenang dan kekal memberi tumpuan pada agenda rakyat bukannya ‘agenda desperado’.

Semalam, Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen yang dihadiri pimpinan utama Umno, Bersatu, dan Pas berlangsung di hotel tersebut.

Antara yang hadir termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang.

Azmin kemudiannya bertemu dengan penyokongnya selama kira-kira sejam dalam satu pertemuan tertutup di hotel itu.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/mandat-bukan-pertemuan-di-hotel-sheraton-sambil-makan-malam/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here