Masih Tiada Keperluan Panggil Sajat – Mujahid

0
276

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menganggap masih tiada keperluan untuk memanggil usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat untuk menemui pihaknya selagi semua perkara melibatkan usahawan itu belum jelas.

“Isu dia, satu…dia (Sajat) tak balik lagi, yang kedua kita dah melihat, saya dah sebut semalam alternatif yang ada dengan SKMM, dengan agensi (pelancongan) itu sendiri. Apa kemungkinan-kemungkinan yang ada.

“Jadi sehingga semua itu jelas dan nyata. Barulah saya akan fikir isu-isu yang datang seperti soalan yang diajukan ini,” katanya ketika ditanya adakah beliau akan memanggil Sajat untuk memberikan penjelasan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Pembersih Tangan kepada pengerusi masjid mewakili masjid-masjid di Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Semalam, Mujahid telah mengadakan pertemuan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan isu membabitkan perilaku usahawan kosmetik kontroversi itu di Makkah.

Mujahid dalam kenyataannya berkata, pertemuan bersama SKMM itu bertujuan agar tindakan segera dapat diambil ekoran pelbagai video dan gambar yang dimuat naik Muhammad Sajad yang mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah, tular di media sosial.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan segera mengadakan pertemuan bersama SKMM adalah kerana suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk menyekat mana-mana media sosial yang memuat naik kandungan yang menimbulkan rasa tidak selesa khususnya kepada umat Islam.

Mujahid turut mengadakan pertemuan bersama agensi pelancongan umrah, Albayt Travel (M) Sdn Bhd yang membawa Muhammad Sajad dan keluarganya ke Tanah Suci bagi mengetahui situasi sebenar di Makkah.

Selepas berbincang dengan agensi itu, Mujahid memaklumkan bahawa Muhammad Sajad perlu mengerjakan ibadah umrah sebagai seorang lelaki berdasarkan keputusan fatwa muzakarah haji berhubung isu melibatkan ibadah haji atau umrah oleh golongan mukhannas.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/68669/BERITA/Nasional/Masih-tiada-keperluan-panggil-Sajat-Mujahid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here