MAS Akan Dijual Jika Tawaran Yang Baik – Tun M

0
232

Malaysia bersedia pertimbangkan untuk menjual syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Bhd (MAB) sekiranya terdapat tawaran baik untuk syarikat itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu terlebih dahulu memastikan pembeli berpotensi itu mampu menguruskan syarikat penerbangan itu dengan baik.

“Kami (kerajaan) telah banyak kali tukar pucuk pimpinan mereka (Malaysian Airlines), setiap kali kami berharap mereka akan berbuat sesuatu untuk memulihkan syarikat tetapi mereka gagal… (jadi) kini kami mahu menjualnya, tetapi jika kami menjual (ia) kepada pihak yang akan gagal sekali lagi, ia tidak berbaloi.

“’Kami perlu berhati-hati dalam memilih pembeli,” katanya pada sesi bertajuk ‘Masa Depan Malaysia dan ASEAN’ bersama-sama ketua koresponden antarabangsa, Asia Tenggara, Bloomberg Television Haslinda Amin, bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN di Bangkok, Thailand hari ini.

Dr Mahathir berkata masih terdapat pelbagai opsyen yang kerajaan boleh pertimbangkan berhubung masa depan syarikat penerbangan itu, termasuk melaksanakan satu lagi langkah penstrukturan semula atau kerajaan menyuntik dana.

“Mungkin menukar ketuanya sekali lagi dan mungkin melakukan penstrukturan semula atau menyuntik sedikit wang kerajaan dan perkara seumpama itu, terdapat banyak opsyen sebenarnya,” katanya.

Semasa ditanya oleh moderator berhubung apakah pilihan terbaik bagi Malaysian Airlines ketika ini, Mahathir berkata: “Jika terdapat tawaran baik, dengan itu kami akan pertimbangkan (menjual syarikat penerbangan itu)”. BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here