Lambang Salib Itu Tak Disengajakan – Jagdeep Singh Deo

0
525

GEORGETOWN: Kerajaan negeri memaklumkan kejadian lampu berbentuk salib di Grace Residence, Jelutong, sebelum ini tidak disengajakan oleh pemaju projek terbabit.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata ia berdasarkan maklum balas daripada arkitek perunding projek itu, pada 14 Januari lalu.

“Kerajaan negeri menyedari tentang perkara ini selepas berita mengenainya tersebar luas di media sosial dan telah meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mendapatkan maklum balas mengenainya.

“Kita juga telah mengarahkan MBPP mengadakan perbincangan dengan pihak arkitek perunding dan mengemukakan cadangan penyelesaian secara menyeluruh.

“Ia membabitkan sensitiviti agama dan pihak perunding kini dalam proses mengemukakan cadangan berkenaan kepada pihak MBPP,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) mengajukan soalan sama ada kerajaan negeri menyedari kejadian lampu berbentuk salib yang sangat besar dan terang di projek berkenaan sehingga menggugat sensitiviti umat Islam.

Beliau turut mengajukan soalan punca lampu berbentuk salib itu dibina, selain tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kewujudan lambang salib di Jelutong, yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baharu di kawasan berkenaan.

Perkara itu menjadi perbincangan hangat netizen, malah ia turut digelar sebagai lambang salib paling besar di dunia.

Difahamkan, lambang salib itu tidak dipamerkan dalam bentuk fizikal tetapi pancaran cahaya daripada reka bentuk bangunan berkenaan yang menghasilkan cahaya berbentuk salib.

Susulan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengarahkan kerajaan negeri dan MBPP menyelesaikan isu paparan lambang salib itu, selain orang ramai dinasihat sentiasa berhati-hati dan tidak mengeruhkan hubungan harmoni antara kaum.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dilapor berkata isu itu mampu diselesaikan dengan mudah jika semua pihak sedia bertolak ansur demi kebaikan bersama, selain Perlembagaan Persekutuan melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain dalam kalangan masyarakat Islam. BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here