KKM Tidak Ada Kuasa Larang Pemandu Mabuk

0
184

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa menetapkan peraturan larangan meminum arak terhadap pemandu kenderaan yang memandu mabuk sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaliknya peraturan itu lebih tertumpu kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Minum arak dengan menghisap rokok adalah perkara berlainan, kementerian ada bidang kuasa bagi peraturan menghisap rokok mengikut akta makanan untuk mengawal di mana tempat boleh menghisap rokok dan sebagainya.

“Tetapi untuk minum arak, apa yang diperuntukkan di bawah akta makanan adalah kementerian berkuasa mengenalpasti kandungan alkohol dan jenis alkohol dibenarkan di negara ini.

“Ia termasuk larangan alkohol kepada mereka berusia bawah 21 tahun, setakat itu sahaja yang ada di bawah bidang kuasa KKM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program ‘Perak Automated External Defibrillator (AED): Save-A-Life’ di Dewan Bandaran Ipoh, hari ini.

Boon Chye berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu dibangkitkan netizen di media sosial berkenaan kes pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi setiap hari.

Menurut Boon Chye, ada pihak mencadangkan KKM menguatkuasakan larangan meminum arak di lokasi serta masa tertentu, namun peraturan itu adalah di bawah bidang kuasa PBT dan JPJ.

Katanya, memandu dalam keadaan mabuk adalah tidak wajar dan tidak dibenarkan kerana ia membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Boon Chye berkata, KKM akan melihat keperluan menambah pegawai penguat kuasa sebaik larangan merokok di tempat awam termasuk premis makanan dikuatkuasa bermula 1 Januari nanti.

“Sehingga kini, kita mempunyai lebih kurang 5,000 penguat kuasa di seluruh negara dan akan menambahnya mengikut keperluan.

“Kita faham ada sedikit masalah di luar bandar dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya menjelang 1 Januari dengan memberi penguatkuasaan pendidikan kepada penduduk luar bandar,” katanya. METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here