Kerusi Parit Buntar Mungkin Tumbang, Melayu Tidak Yakin PH

0
1597

IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengakui pentadbiran diterajui Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat menarik undi Melayu pada tahap sepatutnya.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, usaha itu belum sepenuhnya memberi keyakinan kepada pengundi Melayu bahawa PH tidak akan meranapkan hak Melayu, kedudukan Islam dan Kedaulatan Raja-Raja.

“Kita mahu Melayu Islam yang dibina ketika Malaysia Baharu adalah Melayu yang bermaruah, benci rasuah, progresif dan mampu bersaing, tetapi kita masih belum sepenuhnya mengerahkan upaya maksimum untuk meningkatkan keyakinan itu.

“Kita harus mengambil cabaran ini sebagai teras utama membentuk jawatankuasa khas bagi menganalisa keadaan ini, mendapatkan maklumat, menghimpunkan mereka yang pakar untuk membincangkannya secara teliti,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Perak hari ini.

Menurutnya, kerajaan perlu mencari menyelesaikan segera menjelaskan isu seperti peneroka Felda, pekebun kecil Felcra, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan tol.

Katanya, isu berkenaan adalah perkara yang boleh menyebabkan kerajaan berdepan risiko ditolak rakyat.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak itu juga mengingatkan, gabungan parti itu berpotensi kehilangan empat kerusi Parlimen di Perak jika pola kecenderungan pengundi Melayu kepada PH terutama Amanah tidak diberi perhatian serius.

Jelasnya, perkara itu dinyatakan dalam laporan pada kajian Februari lalu oleh dua badan kajian politik bahawa kerusi Parlimen di Parit Buntar, Tambun, Lumut dan Tanjung Malim berpotensi tumbang.

“Walaupun kajian bersifat semasa dan dapatannya boleh berubah tetapi masih memerlukan perhatian serius dan jangan kita berada dalam sindrom penafian,” katanya.

Konvensyen kali ketiga itu dirasmikan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi dan turut dihadiri Ketua Pemuda Amanah Pusat, Mohd Sany Hamzan. SH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here