Jawatankuasa Mempromosi Kedamaian Antara Agama Akan Dihidupkan.

0
49

Kerajaan pusat menghidupkan kembali fungsi Jawatankuasa Mempromosi Kedamaian Antara Agama bagi memupuk semangat kedamaian di samping membendung fahaman radikalisme agama dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bakal mempengerusikan jawatankuasa itu bersama Kementerian Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial memandangkan ia terletak di bawah seliaan kementerian itu.

Menurutnya, inisiatif menghidupkan semula fungsi jawatankuasa ditubuhkan sejak tahun 2010 itu adalah rentetan daripada usaha kerajaan memupuk semangat cintakan kedamaian dalam kalangan rakyat negara ini melalui penganjuran Himpunan Solidariti Kedamaian pada 23 Mac lalu.

“Jawatankuasa itu sebenarnya dianggotai pelbagai wakil pemimpin pelbagai agama dan NGO di negara ini bagi mendepani sebarang isu fahaman radikal agama dan satu mesyuarat khas akan diadakan pada 8 April ini bagi membincangkannya.

“Selain penganjuran Himpunan Solidariti Keamanan pada 23 Mac lalu, kerajaan melalui jawatankuasa ini juga bercadang menganjurkan lebih banyak program wacana antara agama bagi membincangkan aspek kedamaian diperjuangkan di samping bersama-sama mengenal pasti bentuk fahaman radikal yang terdapat pada agama masing-masing.

“Perlu dijelaskan fahaman radikalisme dalam agama tidak wajar tertumpu hanya kepada agama Islam, bahkan ia mungkin melibatkan agama-agama lain seperti Buddha, Kristian dan Hindu,” katanya kepada media pada majlis meraikan kejayaan atlet cilik sukan Muay Thai dari Parit Buntar, Mohammad Firdaus Zulkifli,15, yang merangkul gelaran juara dunia pada Kejohanan Muay Thai Dunia ke-16 di Bangkok, di pejabatnya hari ini.

Majlis itu menyaksikan Mujahid menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Mohammad Firdaus yang turut ditemani Presiden Persatuan Muay Perak, Datuk Khairunnizam Osman dan ibunya, Noorzalina Anuar.

Ditanya mengenai usaha kerajaan menangani sesuatu fahaman radikal agama yang wujud di negara ini, Mujahid menegaskan polis bekerjasama dengan Jakim bagi mendapatkan maklum balas dan pengesahan sama ada sesuatu fahaman agama itu radikal atau tidak.

Selain itu, beliau menegaskan Jakim turut mendapatkan pandangan dan maklum balas pihak NGO Islam dalam menentukan perkara tersebut.

“Sekiranya fahaman itu didapati bertentangan dengan ajaran Islam dan berupaya menggugat keamanan negara, Jakim akan memberikan pandangan terbaik kepada polis untuk mengambil tindakan susulan.

“Pada masa sama, kerajaan turut mewujudkan lebih banyak program Masjid Rahmah bagi memastikan unsur radikal dalam agama Islam tidak menyerap masuk ke dalam masjid dan surau seterusnya mempengaruhi umat Islam di negara ini,” katanya.

Dr. Mujahid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here