Islam Tak Ajar Umatnya Pilih Produk Berdasarkan Bangsa – Mujahid

1
7616

SERDANG: Islam tidak mengajar umatnya memilih produk berdasarkan bangsa dan kaum tertentu, sebaliknya menekankan kepentingan membeli barangan halal serta bersih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, berkata pendirian itu tiada kaitan dengan isu menggalakkan pembelian barangan Bumiputera yang rancak disensasikan segelintir pihak di negara ini.

Beliau sebaliknya menjelaskan, ia adalah sebahagian daripada mesej supaya segelintir produk dihasilkan syarikat Bumiputera yang belum mendapat pensijilan halal untuk memohon perakuan berkenaan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Ia benar, sebagai muslim, bila pergi ke luar negara pun, saya tanya halal atau tidak, saya tidak tanya dia Melayu, Cina atau Islam ke?

“Pergilah ke China, anda tidak boleh jumpa pun orang Melayu, semuanya Cina.

Soalan saya ialah, ini halal atau tidak (kerana) ada yang muslim Cina, tapi tidak halal.

“Jadi apa yang saya katakan ialah, penanda arasnya adalah halal kerana ia pemangkin untuk ke peringkat pasaran lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Halfest JAKIM 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir pada majlis perasmian ekspo yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ialah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia JAKIM, Datuk Seri Sirajuddin Suhaimee.

Terdahulu, Mujahid ketika menyampaikan ucaptamanya berkata lebih 60 syarikat dan pengeluar produk mendapat sijil halal adalah entiti perniagaan multinasional, malah ia turut dimiliki orang bukan Islam.

“Produk keluaran Malaysia yang mendapat pensijilan halal diakui dapat pergi lebih jauh dan berupaya dipasarkan secara meluas sehingga memasuki pasaran antarabangsa, selain menembusi pasar raya besar.

“Sekiranya produk Malaysia yang halal mendapat akses meluas, ia bukan saja memudahkan pengguna tetapi produk itu sendiri diyakini dan selamat digunakan.

“Kempen seperti inilah yang perlu kita usahakan dalam era Malaysia baharu, iaitu berkempen bagi memastikan sesuatu produk itu bukan saja buatan tempatan tetapi ‘halalan toyyiban’ (halal lagi baik),” katanya.

Mujahid berkata, majoriti pekerja kilang dan pasar raya besar seperti Tesco, Giants dan Econsave yang mendapat pensijilan halal sebenarnya menggajikan orang Islam.

Katanya, pasar raya besar berkenaan turut menyediakan peluang dan ruang untuk memasarkan produk Islam serta perusahaan kecil serta sederhana (PKS).

“Anak muslim juga mendapat manfaat pekerjaan daripada pasar raya besar berkenaan dan menjana pendapatan bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga, justeru ini pemikiran yang perlu ada dalam diri kita.

“Setiap perkara dalam kehidupan kita mempunyai satu kitaran di mana semua saling memerlukan,” katanya. BH

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here