Hospital Baharu Parit Buntar : Kerajaan Tidak Akan Tanggung Kos Kelewatan

0
795

PARIT BUNTAR: Kerajaan tidak akan menangung kos kelewatan pelaksanaan projek pembinaan Hospital Parit Buntar jika ia berpunca daripada kontraktor.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata projek itu yang bermula pada 1 Jan tahun lepas sepatutnya siap menjelang 28 Dis 2020, namun kini berlaku kelewatan antaranya disebabkan pelaksanaan kerja, reka bentuk, koordinasi dan pengalaman kontraktor.

“Kita sedang dalam rundingan untuk mengetahui kelewatan itu disebabkan pihak kerajaan atau kontraktor, dan jika berpunca dari kontraktor mereka yang akan menanggung kos.

“Memang mengikut jadual ada kelewatan 172 hari daripada segi pelaksanaan projek, sepatutnya pelaksanaan projek pembinaan 35 peratus sekarang tetapi kini masih 15 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Hospital Parit Buntar di Simpang Lima dekat sini pada Isnin.

Apabila siap kelak, Hospital Parit Buntar yang berharga RM136.7 juta itu akan mempunyai 76 katil selain pelbagai kemudahan antaranya makmal x-ray dan bilik pembedahan.

Dr Lee berkata pihaknya akan memantau projek tersebut dengan lebih rapi bersama dengan wakil rakyat setempat dan Jabatan Kerja Raya agar ia berjalan lancar selain menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

“Kita harap projek ini dapat disiapkan segera kerana hospital ia menjadi pemangkin di kawasan utara negeri ini,” katanya.

Menurut Dr Lee, hospital kluster itu akan mendapatkan perkhidmatan bantuan doktor pakar dari Hospital Taiping.

Selain itu, Dr Lee berkata dua lagi hospital akan dibina di negeri ini iaitu di Seri Iskandar dengan 76 katil dan Kampar yang masih dalam proses mengenal pasti tapak sesuai.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here