Hina Tentera Perbuatan Jijik, Tidak Boleh Diterima – Mat Sabu

0
659

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan perbuatan jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

Demikian tegas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang mengatakan, pasukan pertahanan itu seharusnya dipandang tinggi atas pengorbanan selama ini dalam memastikan keamanan negara.

“Apabila seorang jutawan mengatakan tentera makan, tidur, elok jadi peneroka Felda. Rakyat melenting. Pelbagai pihak membela angkatan tentera. Saya melihat isu perkauman dimainkan.

“Apabila seorang Melayu Islam mengkritik angkatan tentera, netizen diam, tetapi apabila ada orang Tionghua (berkata yang sama), rakyat melenting.

“Kita tidak kira apa-apa kaum. Menghina angkatan tentera ialah satu perkara jijik dan tidak boleh kita terima,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan Kementerian Pertahanan di ibu negara pagi ini.

Terdahulu, beliau hadir pada perhimpunan dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2019 di Dataran Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini.

Mohamad berkata, tentera juga menjadi tulang belakang kepada operasi menyelamat apabila Malaysia mahupun negara jiran menghadapi krisis atau bencana. 

Mereka juga berada di serata dunia, katanya, berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk misi keamanan sejagat.

Begitu juga, tambahnya, aset-aset ketenteraan bukan sahaja digunakan untuk pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai operasi semasa aman.

“Yang jelas dan pasti, ATM adalah barisan hadapan kerajaan bagi menangani pelbagai isu keselamatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Apabila negara aman, rakyat dapat melakukan aktiviti harian dengan selamat tanpa perlu risau ditembak atau dibom seperti sesetengah negara lain.

“Pelabur luar dan pelancong juga akan datang ke Malaysia apabila mengetahui negara ini dalam keadaan aman. AWANI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here