Harga Sawit Di Kadar Tertinggi Dalam 2 Tahun

0
588

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak kepada RM2,657 satu tan pada tengah hari, paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Kenaikan 3.3 peratus berbanding penutup minggu lalu itu, antara lain didorong laporan jumlah stok minyak sawit Malaysia susut 4.1 peratus kepada 2.348 juta tan pada Oktober 2019, selain daripada pertambahan permintaan daripada negara pengimport.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata stok minyak sawit mentah (MSM) berkurangan sebanyak 2.19 peratus kepada 1.323 juta tan pada Oktober daripada 1.353 juta tan pada September.

Selain itu, stok simpanan minyak sawit yang diproses juga berkurangan sebanyak 6.47 peratus kepada 1.024 juta tan daripada 1.095 juta tan, sebelum ini.

“Pengeluaran MSM berkurangan sebanyak 2.53 peratus kepada 1.795 juta tan pada Oktober daripada 1.842 juta tan pada September manakala pengeluaran isirung sawit turun 2.44 peratus kepada 442,604 tan daripada 453,654 tan,” kata MPOB.

Eksport minyak sawit meningkat sebanyak 16.43 peratus pada Oktober kepada 1.641 juta tan daripada 1.410 juta tan pada September lepas manakala eksport oleokimia menokok 10.19 peratus kepada 291,367 tan daripada 264,431 tan bagi tempoh itu.

Dalam pada itu, eksport biodiesel bagi bulan di bawah kajian merosot 60.42 peratus kepada 21,664 tan daripada 54,735 tan pada bulan sebelumnya dan eksport hampas isirung sawit meningkat 31.10 peratus kepada 221,283 tan daripada 168,789 tan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here