Halal Run Tidak Bermaksud Ada Larian Haram – Mujahid

0
315

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyanggah dakwaan wujudnya larian haram apabila beliau memperkenalkan Larian Halal sempena Karnival Rahmah 2019 peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, mengenai Larian Halal bersama penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza hanya mahu mempromosikan sijil halal yang dikeluarkan pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Program Halal Fun Run itu namanya halal sebab nama halal ini sudah terkenal di seluruh dunia dari segi pensijilan, bukan halal yang bercanggah dengan haram dan tiada kena mengena.

“Ada orang bila keluar berita semalam, Halal Fun Ride bersama Siti Nurhaliza, ada orang tanya adakah (ada) Haram Fun Run? Kontradisinya tidak begitu.

“Halal dalam erti kata pensijilan, tanda dagangan itu satu dunia tahu, kita perkenal sijil halal Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyertai Eco Alami Ride di Dataran Putrajaya hari ini.

Mujahid berkata demikian bagi mengulas persepsi netizen di laman media sosial yang mempersoalkan nama larian halal yang diperkenalkan dalam Karnival Rahmah 2019 peringkat kebangsaan yang berakhir hari ini.

Larian Halal bersama Siti Nurhaliza itu dipertikaikan seolah-olah larian yang dianjurkan pihak lain selain Jakim dikategorikan sebagai haram dan berbeza berbanding tajaan badan itu.

Beliau berkata, sebelum ini pensijilan halal Jakim juga turut mendapat pengiktirafan daripada Grand Laureate dan pencapaian tersebut ingin disampaikan apabila memperkenalkan larian halal itu.

“Semalam ada yang bukan Islam, malah yang banyak menyokong kita syarikat multinasional yang mendapat pensijilan halal daripada kita.

“Itu maksud halal dengan bukan haram dalam makna pensijilan malah kita dapat Grand Laureate kerana pensijilannya. Itu maksud kami, bukan ada halal dan haram,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here