Ditawar RM 22,000, Masih Tak Mahu Jual Lembu Limousin

0
680

Walaupun ditawarkan dengan harga RM22,000 untuk seekor lembu pejantan limousin, penternak dari Wakaf Zin, Bachok, tetap tidak berhasrat menjual ternakannya.

Penternak terbabit, Abdul Rahim Salleh, 74 dari Pasir Puteh Kelantan berkata, lembu jantan miliknya berusia tiga tahun itu dipelihara sejak berusia enam bulan.

Menurutnya, lembu kesayangannya itu dibeli daripada rakan penternak di Kampung Rekang dengan harga RM7,000.

“Lembu saya ni dah kerap  dipamerkan dalam karnival pertanian di seluruh Kelantan dan sering kali juga menang hadiah utama.

“Setakat ini, saya tidak berhasrat untuk menjualnya. Jika saya setuju menjualnya,  harga lembu itu mestilah yang lebih ‘selesa’ bagi saya iaitu tidak kurang RM25,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan persiapan untuk pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPNNK) yang bermula hari ini di Pantai Bisikan Bayu, dekat  sini.

Selain pejantan limousin, turut dipamerkan lembu pejantan angus, charolais, unggul blonde, piedmabtese, kedah kelantan dan belgium blue.

Lembu-lembu sado itu antara tarikan utama ke HPPNK yang berakhir pada 4 Ogos nanti.

Majlis perasmian HPPNK akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub esok. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here