Cukai Keatas Minuman Bergula Mula Tunjuk Kesan Positif – Timb.Menteri

0
130

IPOH – Langkah kerajaan menguatkuasakan cukai ke atas minuman bergula menunjukkan kesan awal yang positif apabila sudah ada syarikat mula mengurangkan kandungan gula dalam beberapa produk dihasilkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, menerusi dialog yang diadakan bersama syarikat-syarikat pengeluar, mereka menyatakan kesediaan untuk menyahut saranan kerajaan bukan atas faktor kesihatan semata-mata tetapi dapat mengurangkan kos pengeluaran.

“Pada awal cadangan dulu memang ada bantahan tetapi apabila diterangkan mereka faham dan telah mulakan pelan untuk kurangkan gula dalam produk mereka.

“Daripada menanggung kos tambahan akibat cukai yang dikenakan adalah lebih baik mereka mematuhi peraturan ditetapkan, cara itu membuatkan syarikat dapat membuat langkah penjimatan hingga berjuta-juta ringgit untuk tanggungan kos gula,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Duti eksais di Malaysia telah dikuatkuasakan sejak 1 Julai lalu pada kadar 40 sen per litar ke atas dua kategori minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.

Dua kategori berkenaan adalah minuman biasa yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter dan jus buah-buahan yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.

Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, impak pelaksanaan cukai berkenaan dari segi kesihatan mungkin hanya dapat dilihat dalam tempoh satu ke dua tahun lagi.

Katanya, paling penting sekarang adalah usaha kerajaan untuk mengubah tabiat minuman kalangan rakyat yang selama ini banyak menyumbang kepada penyakit kencing manis dan obesiti.

“Saya yakin dengan lebih banyak maklumat dan hebahan mengenai isi kesihatan dibuat, pengguna akan lebih peka dengan pengambilan minuman kurang gula secara tidak langsung membantu syarikat-syarikat minuman mengeluarkan produk yang lebih sihat,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gopeng itu menyampaikan sumbangan kepada 200 warga emas dan golongan miskin sempena program anjuran Shou Hup Senior Citizen Good Will Association Ipoh di Taman Song Choon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here