Cikgu Rugi RM 75,000 Akibat Penipuan Atas Talian ‘Love Scam’

0
419

Terpedaya dengan janji manis akan berkahwin, seorang guru tuisyen berputih mata selepas kerugian RM75,000 apabila menjadi mangsa penipuan atas talian ‘love scam’ sejak Januari lalu.

Mangsa wanita yang juga ibu tunggal berusia 54 tahun itu mendakwa, dia berkenalan dengan lelaki terbabit melalui laman sosial Facebook.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa dari China dan dia benar-benar serius untuk menjalinkan hubungan cinta menyebabkan dia tidak mengesyaki apa-apa.

“Selepas beberapa hari berkenalan dengan lelaki terbabit, dia menyatakan hasrat untuk meminjam duit RM25,000 kerana mahu membiayai kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit buah pinggang.

“Lelaki itu beberapa kali merayu kepada saya supaya memasukkan duit dengan segera kerana penyakit anaknya semakin kritikal ketika mendapatkan rawatan di hospital di Hong Kong.

“Kerana bersimpati dengan nasib lelaki itu, saya terus memasukkan duit RM25,000 pada 17 Januari lalu selepas dia berjanji akan membayar semula,” katanya yang ditemui pada sidang media di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden LKPJM Datuk Sheeda Romli.

Mangsa yang mempunyai seorang anak tunggal lelaki berusia 27 tahun berkata, beberapa hari selepas itu, lelaki terbabit ada menghantar mesej melalui aplikasi WeChat meminta memasukkan duit kerana anaknya perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital di India.

“Dia merayu dan menangis meminta saya memasukkan duit sebanyak RM20,000 pada 28 Januari lalu kerana bersimpati dengan keadaan anaknya.

“Lelaki terbabit berjanji akan membayar balik wang saya apabila datang ke Malaysia. Dia turut berjanji akan berkahwin dengan saya selepas semua masalahnya selesai.

“Sebaliknya pada hari dijanjikan untuk datang ke negara ini, dia tidak muncul malah saya menunggu beberapa jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Beliau berkata, tidak lama kemudian, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai kakitangan hospital di Hong Kong yang memaklumkan teman lelakinya terbabit dalam kemalangan dan memintanya untuk membuat bayaran kos pembedahan RM30,000.

“Dia berjanji akan menjual rumahnya di Hong Kong dan akan menetap di Malaysia. Bagaimanapun, sehingga kini dia tidak lagi berhubung dengan saya menyebabkan saya berasa diri menjadi mangsa penipuan.

“Sehubungan itu, saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, pada 22 April lalu,” katanya.

Sementara itu, Sheeda berkata, orang ramai khususnya wanita supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pelbagai imbuhan.

Katanya, wanita kesunyian tanpa mengira latar belakang antara sasaran utama sindiket berkenaan kerana imej gambar dalam media sosial adalah imej orang lain. – Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here