Anggota Benarkan MPV Diperiksa Dikenakan Tindakan Tatatertib

0
374

Mohamad Fuzi mengulas kejadian pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April lalu apabila lima lelaki dipercayai penyokong Pakatan Harapan (PH) bertindak memeriksa sebuah MPV polis di hadapan pusat mengundi di sekolah berkenaan.

Anggota polis yang membenarkan kereta peronda polis (MPV) diperiksa orang awam di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, di Negeri Sembilan, Sabtu lalu akan dikenakan tindakan tatatertib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tindakan tegas itu akan dilaksanakan mengikut prosedur di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Tidak wajar membenarkan MPV diperiksa orang awam yang tidak mempunyai kuasa kerana mereka (anggota polis) boleh memohon bantuan jika keadaan mendesak berikutan petugas di sekitar kawasan pusat pengundian ketika itu seramai 1,100 orang.

“Kita ada pelbagai saluran seperti rakan setugas lain berhampiran atau balai berdekatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), tidak timbul alasan membiarkan orang awam menghalang tugas penjawat awam bagi mengelakkan kekecohan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 1 kepada 331 penerima membabitkan pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Melaka 2019 di Dewan Serbaguna IPK negeri, Bukit Beruang, di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang ketika dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal melakukan tugas membantu kawalan lalu lintas dan mahu mengiringi kertas undi PRK DUN terbabit.

Justeru, katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam isu berkenaan yang berkait dengan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi berkata kertas siasatan terhadap lima orang awam yang direman berkait isu sama akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapat arahan selanjutnya.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata 251 laporan polis diterima setakat pagi ini berhubung status dimuat naik pemilik Facebook yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, katanya, belum ada sebarang tangkapan dilakukan, namun polis akan terus memburu pihak berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here