Ahli Parlimen Johor Bahru Buka Puasa Di Gudwara Sahib

0
211

JOHOR BAHRU: Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tetap meneruskan rancangannya berbuka puasa di Gurdwara Sahib di sini, biarpun setelah dikritik dan dibantah ramai pihak.

Akmal dilihat tiba di Majlis Iftar Muhibbah itu pada pukul 6.46 petang dan disambut oleh Presiden Gurdwara Sahib Johor Bahru, Manjit Singh Rakmu.

Selain masyarakat Sikh, majlis itu turut disertai kira-kira 250 komuniti dari Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan jemaah Masjid India Muslim Johor Bahru yang kemudian duduk di 30 buah meja panjang yang disediakan untuk berbuka.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Naib Presiden MACMA, Mohd. Shaiful Choo dan Timbalan Pengerusi Masjid India Muslim Johor Bahru, Muhyidin Hamid.
Ditemui pemberita dalam program itu, Akmal berkata pihaknya sedar majlis tersebut mendapat kecaman hebat di media sosial namun tetap memilih untuk meneruskannya kerana menyifatkan tujuan penganjurannya adalah baik dan positif.

“Bagi saya, ini adalah sekadar langkah kecil untuk kita saling memahami dan menghormati sesama sendiri terutama sekali apabila polemik perkauman sering dimainkan oleh pihak tertentu.

“…dan ini mungkin juga adalah cabaran besar kepada mana-mana pihak yang mahu mengangkat pemahaman atau pun sikap saling hormat menghormati antara budaya dan komuniti yang berbeza,” katanya.

Awal hari ini, Akmal dikritik hebat oleh netizen di laman sosial susulan jemputan untuk majlis itu ditularkan oleh pemilik akaun Facebook bernama “OpsJohor”.

Antara yang lantang mengecam ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Mohd Hairi Mad Shah yang menyifatkan tindakan itu seakan menunjukkan Akmal tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.

Bagaimanapun, dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya, Akmal mempertahankan langkahnya itu dengan menyenaraikan beberapa alasan termasuk menyatakan ini bukanlah kali pertama dirinya berbuka puasa di sebuah gurdwara.

Selain itu, beliau menegaskan telah merujuk perkara terbabit kepada mereka yang pernah menghadapi situasi sama.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here