Header Ads

BERITA TERKINI

PENCIPTA NAMA PROTON SAGA MENINGGAL DUNIA


SUNGAI PETANI: Bekas tentera yang mencipta nama PROTON Saga, kereta nasional pertama negara, meninggal dunia akibat sakit tua.
Staf Sarjan (B) Ismail Jaafar, 71, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Nuri kira-kira jam 3.10 petang semalam, selepas 51 hari terlantar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Ismail dikenali sebagai 'Staf Sarjan PROTON' ketika berkhidmat di Markas 2 Div di Pulau Pinang, selepas memenangi pertandingan mencipta nama kereta kebangsaan itu.Anaknya, Mohd Sarisffuddin, 48, berkata bapanya itu dimasukan ke HSAH selepas pulang mengerjakan ibadat haji pada November tahun lalu, akibat sakit jantung, kencing manis serta asma dan dibenarkan pulang Khamis lalu selepas 51 hari dirawat.

Bagaimanapun, katanya, pagi semalam keadaan bapanya kembali teruk sehinggalah tenat dan meninggal dunia kira-kira jam 3.10 petang di sisi isteri, Sariah Abdul Rahman, 69 dan anak-anak.

"Kami sekeluarga reda dengan kehendak Allah. Arwah ayah sakit sudah lama, lebih lapan tahun. Malah, semasa mengerjakan ibadah haji tahun lalu, arwah turut dimasukkan ke hospital di Makkah.

"Saya dan keluarga bersyukur kerana arwah ayah dapat menunaikan segala kewajipannya di Makkah dan arwah seorang ayah yang bertanggungjawab, baik dan sukar dicari ganti," katanya.

Mohd Sarisffuddin berkata, jenazah arwah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Amanjaya di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Katanya, arwah pernah menyatakan hasrat supaya mencari semula kereta Proton SAGA yang diterima sebagai hadiah pada 1985.

"Kereta itu dijual kerana ketika itu arwah memerlukan wang untuk dua adik yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti."Saya dan adik sudah mencari kereta itu dan dipercayai berada sekitar Pendang," katanya.

Proton SAGA ialah model pertama syarikat automotif pertama Malaysia, iaitu PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore dan ia dibangunkan di Shah Alam pada 1985.Sebelum model Saga dilancarkan, sebuah pertandingan memilih nama kereta kebangsaan negara diadakan dan Ismail diumumkan sebagai pemenang pada 1985, iaitu dua tahun sebelum menamatkan perkhidmatan dalam tentera.

Nama PROTON Saga yang dihantar Ismail menewaskan ribuan penyertaan lain, membolehkannya menerima hadiah kereta PROTON Saga 1.3 - BERITA HARIAN

No comments