Header Ads

BERITA TERKINI

OPERASI BANTERAS KAKI PONTENG PUASA



PARIT BUNTAR: Tindakan pengusaha beberapa premis makanan di pusat bandar di sini menjual makanan secara terbuka kepada umat Islam seawal jam 11 pagi, mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa, hari ini.

Hasil pemeriksaan, puluhan bungkusan minuman ditemukan dalam bekas khas di bahagian dapur dan diletakkan di atas meja di hadapan premis bagi memudahkan pelanggan membelinya.

Pegawai Tadbir Agama Pejabat Agama Parit Buntar, Khairul Nizam Mat Nor berkata, pihaknya bersama pegawai Pejabat Kesihatan Kerian dan Majlis Daerah Kerian menyerbu beberapa premis berkenaan yang menjual makanan kepada 'kaki ponteng' puasa.

Katanya, serbuan hasil maklumat orang awam dan dilakukan sebagai pencegahan bagi memastikan umat Islam menghormati bulan Ramadan.

"Ketika serbuan dijalankan beberapa individu kaki culas puasa bertempiaran melarikan diri, malah ada antara mereka melarikan diri menggunakan pintu belakang premis.

"Ketika disoal, ada antara pelanggan dengan berani mengaku makanan dan minuman yang dibeli adalah untuk diri sendiri kerana melakukan kerja berat," katanya ketika serbuan itu.

Turut hadir Ketua Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Parit Buntar, Mohd Azhar Mat Yunan.

Khairul Nizam berkata, pihaknya memberikan amaran dan nasihat kepada pihak berkenaan supaya menghormati bulan Ramadan.

Katanya, pihaknya dimaklumkan sekurang-kurangnya 10 premis yang menjadi sasaran di Parit Buntar yang menjual makanan dan minuman kepada orang ramai sebelum waktu dibenarkan.

"Pihak kami akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa bagi memastikan bulan Ramadan terus dihormati," katanya Berita Harian

No comments