Header Ads

BERITA TERKINI

TAMAN TEMA ANIMASI PERTAMA BAKAL DIBUKA 26 JUN


IPOH: Taman tema animasi pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Movie Animation Park Studios (Maps), di sini akan mula dibuka kepada orang ramai pada 26 Jun ini.

Ahli Lembaga Pengarah MAPS, Ramelle Ramli berkata taman tema itu akan menawarkan 40 tarikan unik dengan enam tema animasi terkemuka dunia seperti Boboiboy, The Smurfs dan beberapa watak animasi dari Dreamworks.

“Ketika ini MAPS telah pun 96 peratus siap, 4 peratus lagi hanya melibatkan kerja-kerja hiasan.

“Walaupun terdapat sedikit masalah sebelum ini namun saya nak jelaskan ianya ekoran keputusan yang diambil oleh pihak kami untuk menambah lagi tarikan bagi memastikan ianya berbaloi untuk pengunjung,” katanya pada sidang media selepas membawa wakil-wakil media melawati taman tema itu pada Jumaat.

Tambah beliau pihaknya yakin taman tema yang terletak di Meru Raya, Ipoh itu akan dapat menarik 700,000 hingga 800,000 pengunjung sehingga akhir tahun 2017.

“Kami sedang giat menjalankan promosi di dalam serta luar negara kerana pihak MAPS percaya ianya akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negeri ini,” ujar beliau.

Kata beliau, tiket masuk MAPS ketika ini dijual dengan harga RM190 untuk dewasa dan RM150 untuk kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi status pemegang pas tahunan taman teman itu, beliau memberitahu ianya hanya akan diaktifkan pada hari pembukaan MAPS nanti.

“Tetapi untuk sesiapa yang mempunyai MyKad akan mendapati harga berlainan iaitu RM148 untuk dewasa dan RM117 untuk kanak-kanak, warga emas dan OKU, malah pegunjung juga akan dapat diskaun tambahan kalau beli di atas talian.

“Untuk yang dah beli tiket tahunan pula ianya boleh dipakai selama 12 bulan daripada tarikh dibuka manakala untuk tiket harian pula boleh digunakan dalam tempoh tiga bulan,” jelas beliau - .SuaraPerak

No comments