Header Ads

BERITA TERKINI

SUKAN SEA BEBAS DARIPADA PENYELEWENGAN DANA - ZolkplesEmbong

SEKRETERIAT Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) memberi jaminan penganjuran temasya Sukan Sea Kuala Lumpur dan Sukan Para Asean Kuala Lumpur bebas daripada masalah penyelewengan dana.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat KL 2017, Datuk Seri Zolkples Embong berkata penganjur sentiasa telus dalam semua tindakan yang diambil terutama melibatkan aspek kewangan dan perolehan.


"Kita mahu pastikan penganjuran Kuala Lumpur 2017 bebas daripada pelanggaran tatacara terutama dari segi kewangan, perolehan dan sebagainya. Kita sentiasa telus dalam apa sahaja tindakan terutama melibatkan aspek kewangan.

"Saya akan pastikan setelah selesai penganjuran nanti kami akan menyiapkan segala laporan dan penyata kewangan termasuk peralatan sukan, inventori kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perhimpunan bulanan dan bacaan ikrar integriti pegawai dan kakitangan sekretariat berkenaan di Lobi Gimnasium III, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Zolkples berkata beliau sendiri telah berhubung dengan Jabatan Audit Negara supaya pemeriksaan kewangan berhubung penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur dapat dilakukan lebih awal.

"Saya sendiri telah berhubung dengan Ketua Audit Negara sebelum ini, Tan Sri Ambrin Buang untuk melibatkan audit dalam apa sahaja proses perolehan yang akan kita lakukan.

"Saya beritahu kepadanya, kita tidak mahu ikut amalan biasa selepas akaun ditutup baru audit buat pemeriksaan. Kita minta penglibatan audit dari mula lagi. Apabila kami sediakan laporan, kami harap telah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan," katanya. Penganjuran KL 2017 melibatkan temasya Sukan Sea pada 19-31 Ogos dan Sukan Para Asean pada 17-23 September. - Bernam

No comments