Header Ads

BERITA TERKINI

MAJLIS DAERAH KERIAN CAPAI STATUS PERBANDARAN TAHUN 2020

PARIT BUNTAR - Majlis Daerah Kerian (MDK) yakin mampu mencapai status perbandaran menjelang tahun 2020.

Yang Dipertuanya, Abdul Khair Ahamad berkata, sebelum ini, Kerajaan Perak menetapkan Tanjung Malim, Kampar, Batu Gajah dan Kerian perlu mencapai taraf perbandaran pada tahun 2020.

Katanya, MDK perlu memenuhi kriteria pendapatan PBT melebihi RM20 juta setahun, kepadatan penduduk melebihi 200,000 orang, daerah memiliki kemudahan prasarana awam lengkap serta permohonan direstui kerajaan negeri.


“Jumlah penduduk di Kerian kini mencecah 192,000 orang dan dengan perlaksanaan beberapa projek mega, MDK yakin berada di landasan tepat.


"Daerah Kerian kini bakal melaksanakan projek pembinaan pusat pentadbiran daerah baharu di Dennistown, yang dijangka seluas lapan hektar, disusuli pembinaan beberapa projek perumahan dibangunkan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak (PKENP) melibatkan ratusan unit rumah.

“Manakala projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Bagan Serai sudah mencapai lebih 1,000 unit rumah,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MDK 2016 di Dewan Merdeka, semalam.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan dihadiri Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat serta Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Abdul Khair berkata, perlaksanaan projek pembangunan Lembah Beriah, Bagan Serai oleh pihak swasta seluas 242 hektar juga sedang giat dijalankan.

Menurutnya, projek itu bukan sahaja membawa impak positif dari aspek meningkatkan kepadatan penduduk, malah membantu memacu ekonomi setempat ke arah lebih baik.

“Di Tanjung Piandang, ada perancangan pembinaan pasar awam baharu dan projek perumahan sekitar kawasan pusat pentadbiran daerah baharu di Dennistown yang bakal dibangunkan PKENP. MDK yakin syarat 200,000 penduduk mampu dicapai,” katanya.

Pendapatan kini cecah RM18j

Dari segi pendapatan PBT, beliau mendedahkan, pendapatan tahunan MDK kini mencecah RM18 juta setahun.

Menurutnya, dengan kewujudan kawasan perindustrian baharu di Lembah Beriah di samping pembangunan terancang di Dennistown dan PR1MA Matang Gerdu, Bagan Serai, MDK yakin sasaran pendapatan lebih RM20 juta mampu direalisasikan.

“Dari segi kutipan cukai hasil, daerah Kerian bakal memperoleh peningkatan pendapatan.

“Lebih-lebih lagi sejak Oktober lalu, kawasan Kuala Gula, Simpang Empat Semanggol dan seluruh daerah Kerian termasuk kawasan perkampungan sudah diwartakan sebagai kawasan seliaan MDK,” katanya.

Abdul Khair berkata, kriteria ketiga iaitu keperluan penyediaan kemudahan awam lengkap dan kondusif juga dilihat hampir dipenuhi MDK pada ketika ini.

"Di Bagan Serai terdapat kompleks mini stadium berserta dewan serba guna. Terdapat perancangan membina mini kompleks sukan di Dennistown dan padang bola sepak Tanjung Piandang dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, kemudahan stesen bas sudah dinaik taraf, ditambah stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), malah dekat dengan lapangan terbang di Pulau Pinang.

“Keseluruhannya, semua kemudahan awam diperlukan sudah ada dan sedang dalam perancangan untuk dibangunkan dalam masa terdekat kecuali kolam renang,” katanya.

Abdul Khair berkata, bagi pembinaan padang bola sepak dan pejabat penghulu baharu di Tanjung Piandang, kerajaan negeri sudah mengambil alih tanah seluas lebih empat hektar dan dijangka bermula Ogos depan.

“Pembinaan Pasar Awam Tanjung Piandang bernilai RM2 juta juga dijangka dimulakan Jun ini setelah isu aksesibiliti ke pasar menggunakan Jalan Piandang Indah 10 bersama penduduk taman itu berjaya diselesaikan.

“Melalui segala kemudahan sedia ada dan perancangan jangka singkat direncana MDK bersama kerajaan negeri, sasaran mencapai status perbandaran menjelang tahun 2020 bukan lagi satu angan-angan,” katanya. -SINAR

No comments