Header Ads

BERITA TERKINI

LETAKKAN RAMAI CALON WANITA UNTUK PRU 14



TAWAU: Saranan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia agar parti politik di negara ini meletakkan lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 diharap dapat membuka mata para pemimpin parti termasuk blok pembangkang mengenai perkara itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata pucuk pimpinan UMNO diharap dapat mempertimbangkan saranan itu dan memberi peluang kepada calon wanita menjadi wakil rakyat dan berfungsi secara efektif dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

“Speaker hari-hari melihat bagaimana wanita beraksi berhujah, membahas dan mengemukakan soalan di parlimen dan ini bukti wanita bekerja dan saranan itu amat bersejarah serta mengiktiraf calon wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program himpunan kumpulan selawat wanita Tawau yang turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Azizah yang juga Naib Ketua Wanita UMNO berkata pengiktirafan Speaker Dewan Rakyat itu tepat pada waktunya memandangkan terdapat ramai calon wanita yang berpendidikan serta berpotensi tinggi di seluruh negara yang boleh mewakili parti dan Barisan Nasional.

“Kita punya wanita yang boleh menjalankan kerja-kerja baik dan yang penting calon ini boleh menang di kawasan masing-masing.

“Wanita ini, bukan calon yang sengaja dipilih hanya untuk mengisi kawasan tetapi mereka boleh menang dan saya berharap pengiktirafan speaker ini akan mengiktiraf juga mereka yang berkebolehan ini diberi peluang,” katanya lagi.

Beliau berkata, cadangan 30 peratus calon wanita pada PRU akan datang adalah kekal serta tidak berubah dan sudah tiba masanya kepimpinan parti membuktikan bahawa wanita yang menjadi tulang belakang parti turut diberi peluang.–BERNAMA

No comments