Header Ads

BERITA TERKINI

KOREA UTARA BERI AMARAN KEPADA US

USS Carl Vinson berlabuh di pelabuhan Busan Korea Selatan 15 Mac 2017

SEOUL – Korea Utara berjanji akan melancarkan tindak balas paling tegas ke atas Amerika Syarikat (AS) semalam ketika Washington menghantar armada kapal perang ke Semenanjung Korea, lapor agensi berita Yonhap.

Pyongyang menganggap tindakan Washington itu sebagai serangan ke atas Korea Utara.

Amaran itu dibuat ketika pasukan gempur diketuai kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, USS Carl Vinson menuju ke perairan Semenanjung Korea.

Kementerian luar Korea Utara memberi amaran bahawa ia akan melaksanakan tindakan paling tegas untuk mempertahankan kedaulatannya termasuk menggunakan senjata paling kuat dalam menangani provokasi Washington.

“AS bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kesan buruk daripada tindakan yang keterlaluan ini,” seorang jurucakap kementerian itu dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Korea Utara, KCNA.

Ketegangan di Semenanjung Korea memuncak berikutan spekulasi bahawa Korea Utara akan melakukan ujian nuklear keenam atau melancarkan peluru berpandu jarak jauh sempena sambutan ulang tahun negara berkenaan pada bulan ini.

Terdahulu, Penasihat Keselamatan Negara AS, H.R McMaster berkata, Presiden Donald Trump telah mengarahkan beliau supaya menyediakan semua pilihan yang ada untuk menangani ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara ke atas Washington serta sekutunya.

Korea Utara mendakwa bahawa ancaman ketenteraan Washington menjadi justifikasi untuk Pyongyang membangunkan program senjata nuklear dan peluru berpandu.

“Situasi genting ini sekali lagi membuktikan bahawa Korea Utara membuat keputusan betul dengan membangunkan keupayaan ketenteraan bagi mempertahankan diri selain melancarkan serangan awal menggunakan senjata nuklear,” kata jurucakap itu.

Sementara itu, Tentera Rakyat Korea Utara (KPA) mengutuk AS kerana bersikap berat sebelah berhubung tindakan provokasi oleh Korea Selatan.

Pyongyang merujuk kepada tindakan Seoul melancarkan ujian peluru berpandu baru-baru ini.

Peluru berpandu balistik jenis Hyunmoo yang mempunyai jarak 800 kilometer itu dikatakan mampu membedil mana-mana sasaran di Korea Utara. – Bernama

No comments