Header Ads

BERITA TERKINI

HADIAH ISTIMEWA JIKA DAPAT MENGALAHKAN JDT



BARISAN pemain Kelantan mendapat suntikan semangat menjelang pertemuan berprofil tinggi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi tunggal Liga Super di Kota Bharu, malam esok.

Ini kerana penaja bersama The Red Warriors (TRW), syarikat telekomunikasi redONE Network Sdn Bhd (redONE) menawarkan hadiah istimewa berupa telefon pintar Huawei P10 Lite sekiranya skuad pantai timur itu menewaskan JDT.

Ketua Pegawai Pemasaran redONE, Ben Teh berkata, pihaknya memperuntukkan RM42,000 bagi tujuan itu dengan semua pemain Kelantan akan menerima telefon pintar berkenaan jika misi meraih tiga mata itu tercapai di Kota Bharu.

“Ganjaran ini bukan sahaja sebagai tanda sokongan malah lebih penting rangsangan kepada pemain untuk membuktikan TRW bahawa masih mampu memberikan persembahan terbaik seterusnya mengalahkan JDT di tempat sendiri.

“Kita tahu memang bukan satu tugas mudah bagi TRW untuk mengalahkan pasukan ternama seperti JDT tetapi saya percaya segala-galanya tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Pek Prabayar RedWira dan Jersi Edisi Terhad RedONE di Kota Bharu semalam.

Hadir sama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengarah Eksekutif TRW Sdn Bhd, Radhi Jalil Rahman.

Mengulas lanjut, beliau berkata, redONE optimis mampu menyumbang sebanyak RM1juta kepada Kafa dengan sasaran jualan sebanyak 50,000 pek prabayar terbaharu itu, sehingga hujung tahun ini.

Menurutnya, RM20 daripada setiap jualan pek RedWira itu akan disalurkan kepada pihak Kafa untuk membantu TRW bersaing dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

“Pek prabayar ini sudah pun berada di pasaran sejak Sabtu lalu dan dijual dengan harga RM130 seunit. Kelebihan pek prabayar ini ialah tempoh sah selama 13 bulan bermula tarikh ia diaktifkan dan akan mendapat jersi TRW edisi terhad.

“Selain itu, pelanggan juga boleh membuat panggilan secara percuma tanpa had ke semua rangkaian redONE,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nasir memberitahu, pihaknya berterima kasih kepada redONE di atas inisiatif tersebut sekali gus memastikan kelangsungan Kelantan dalam saingan liga musim ini.

“Kami berharap peminat TRW dapat membeli pek RedWira ini supaya dapat membantu memperkukuhkan sumber kewangan Kafa bagi membiayai perbelanjaan pasukan bola sepak negeri,” katanya - SINAR

No comments